TABUNG Haji.
TABUNG Haji.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak membabitkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia berikutan PN masih dengan model baharu untuk Tabung Haji.

"Kita belum melaksanakan berdasarkan pelan disediakan dan kita tidak mahu dengan adanya RCI akan membantutkan usaha untuk menambah baik Tabung Haji serta meningkatkan keyakinan terhadap pendeposit.

"Malah, setakat ini tidak timbul sebarang isu mencurigakan masyarakat khususnya 11 juta pendeposit.

"Mengenai terma RCI, ia masih terlalu awal dan perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, RCI berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan jujur.

Beliau berkata, selepas persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, RCI Tabung Haji akan dilaksanakan dalam tempoh 2014 hingga 2020 iaitu termasuk hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Ia akan membabitkan semua urusan Tabung Haji termasuk berkaitan pemindahan aset," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan menubuhkan RCI Tabung Haji mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji, hasil pengauditan perunding seperti Pricewaterhouse Coopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 5:18 PM