Apandi (kiri) dan Zulkifli Wahijan (dua dari kiri) bertemu Timbalan Menteri Pertanian Afghanistan, Mawlawai Sadr Azam (tengah).
Apandi (kiri) dan Zulkifli Wahijan (dua dari kiri) bertemu Timbalan Menteri Pertanian Afghanistan, Mawlawai Sadr Azam (tengah).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Dianggarkan terdapat seramai dua juta ibu tunggal dan 1.5 juta anak yatim di Afghanistan yang kini mengharapkan bantuan kemanusiaan antarabangsa.

Angka itu didedahkan Menteri di Kementerian Syuhadah dan Orang Kurang Upaya, Islamic Emirate of Afghanistan, Abdul Majeed Akhund ketika menerima kunjungan hormat kumpulan delegasi dari Malaysia, pagi semalam.

Pertemuan itu membabitkan Senator Dewan Negara, Sr Mohd Apandi Mohamad, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias di pejabat menteri berkenaan di sini.

Abdul Majeed memaklumkan, tempoh 20 tahun penjajahan tentera a tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bumi Afghanistan menyebabkan rakyat negara itu hidup dalam fasa peperangan yang panjang.

Menurutnya, peperangan itu menyebabkan ramai isteri menjadi ibu tunggal akibat kematian suami selain bilangan yang menjadi cacat akibat letupan bom atau ditembak sukar dihitung.

"Peperangan ini menyebabkan ramai rakyat Afghanistan menjadi buta, hilang kaki dan hilang upaya tubuh akibat serangan dilakukan tentera luar.

"Ketika ini hanya 150,000 penduduk Afghanistan yang cacat kesan peperangan mendaftar dengan kementerian ini. Angkanya mungkin lebih ramai terutama mereka yang menetap di kawasan pedalaman," katanya.

Abdul Majeed berkata, walaupun memiliki hospital di kesemua 34 wilayah di negara itu namun kerajaan berdepan masalah dana, ubat-ubatan, alatan surgeri dan pakar membuat anggota tubuh palsu (prostesis).

"Saya berharap negara luar dapat melihat dan memahami situasi sukar dihadapi Afghanistan kini. Sebarang bentuk bantuan dan sokongan amat dialu-alukan," katanya yang turut kudung kaki kanan akibat serangan bom oleh tentera Rusia.

Sementara itu, Mohd Apandi memaklumkan bahawa kerajaan menyokong penuh sebarang bentuk bantuan kemanusiaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Afghanistan ketika ini.

Beliau berkata, Malaysia amat peka terhadap isu kemanusiaan dan pernah menganjurkan persidangan khas membabitkan isu pelarian Rohingya dan keganasan di Marawi selatan Filipina.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar sebelum ini pernah memaklumkan

kerajaan Malaysia sedang meninjau peluang kerjasama dengan beberapa negara termasuk dalam pembinaan infrastruktur dan bina upaya bagi projek pembangunan semula Afghanistan.

Beliau berkata, Malaysia menawarkan pengalaman dan kepakaran dalam sektor ekonomi digital, industri halal, pendidikan, pembangunan dan pengurusan lapangan terbang, pembangunan dan perancangan bandar serta perkhidmatan (perbankan Islam dan takaful bagi pembangunan semula di Afghanistan apabila keadaan mengizinkan.

Sementara itu, delegasi sama turut melakukan kunjungan hormat terhadap Timbalan Menteri Pertanian Afghanistan, Mawlawai Sadr Azam semalam.

Melalui pertemuan singkat itu, beliau yakin masalah ekonomi yang dihadapi negara itu kini mampu diatasi dalam dan Afghanistan bakal bangkit semula.

Menurutnya, isu keselamatan yang kini dalam kawalan Taliban membolehkan negara ini dalam keadaan aman dan sesuai untuk menarik kedatangan pelabur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:23 AM