Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Menjelang suku pertama dan kedua 2022, Malaysia bersedia menjadi hab kepada penyelesaian rawatan Hepatitis C yang berkesan dan mampu dibayar pesakit dijangkiti virus itu.

Untuk rekod, Malaysia adalah negara pertama di dunia yang diberi kelulusan bersyarat menggunakan ubat ravidasvir secara kombinasi dengan sofosbuvir bagi merawat Hepatitis C.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, selaras tema Hari Hepatitis Dunia 2021, 'Hepatitis Can't Wait', Malaysia kini bersedia dan teruja untuk memberikan penyelesaian rawatan kepada mereka yang dijangkiti penyakit itu.

KHAIRY Jamaluddin, berucap ketika melancarkan Malaysia sebagai Destinasi Rawatan Hepatitis C.
KHAIRY Jamaluddin, berucap ketika melancarkan Malaysia sebagai Destinasi Rawatan Hepatitis C.

"Ini sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis baharu sebanyak 90 peratus dan mengurangkan kematian disebabkan virus hepatitis sebanyak 65 peratus menjelang tahun 2030.

"Malaysia menawarkan rawatan kepada pesakit Hepatitis C dengan kadar kesembuhan sebanyak 97 peratus dan pengurangan kos rawatan sebanyak 95 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena InsigHT2021, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Perkhidmatan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif dan Pengarah Urusan Berhad (Pharmaniaga), Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kajian penggunaan ubat Hepatitis C, iaitu sofosbuvir dan ravidasvir terbukti berkesan sehingga menjangkau 97 peratus, dengan kesan sampingan yang amat rendah.

Katanya, pendekatan dasar pemberian ubat dan rawatan Hepatitis C juga akan diubah daripada pelesenan secara wajib kepada pelesenan secara sukarela, sekali gus bakal menyaksikan tawaran perkhidmatan kesihatan terhadap jangkitan virus berkenaan diperluaskan ke hospital swasta.

"Kalau sebelum ini hanya hospital awam saja yang boleh berikan rawatan dan ubat Hepatitis C, sekarang hospital swasta juga boleh digunakan menerusi pelesenan sukarela bagi mengendalikan sofosbuvir serta ravidasvir.

"Kedua-dua ubat ini diberikan secara oral (makan) dengan kesan sampingan yang amat rendah, justeru berbeza jika dibandingkan kaedah rawatan Hepatitis C dulu yang menggunakan ubat cucuk.

"Kemajuan perubatan ini juga dijangka berupaya menangani masalah Hepatitis C yang menyaksikan kira-kira 400,000 penghidap virus ini yang belum dikesan di Malaysia.

"Kita sasarkan Malaysia untuk bebas daripada Hepatitis C menjelang 2030 dan ia berupaya dicapai menerusi gabungan dua ubat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 1:35 PM