PERBANDINGAN hati sihat (kiri) dengan hati sirosis (kanan).
PERBANDINGAN hati sihat (kiri) dengan hati sirosis (kanan).
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Hepatitis secara amnya bermaksud keradangan hati yang boleh dihidapi sesiapa sahaja, sama ada bayi baru lahir atau warga emas.

Lazimnya, hepatitis jenis B dan C boleh menyebabkan penyakit serius lain seperti sirosis, barah hati dan risiko kematian berpunca daripada virus hepatitis.

Dianggarkan 354 juta di seluruh dunia 'hidup' dengan penyakit hepatitis B atau C yang kebanyakannya tidak mendapat rawatan.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati dianggarkan 4.5 juta kematian pramatang boleh dicegah di negara berpendapatan rendah dan sederhana menjelang tahun 2030 melalui vaksinasi, ubat-ubatan dan kempen pendidikan akibat jangkitan hepatitis.

Strategi hepatitis global WHO yang disokong semua negara anggota pertubuhan itu bertujuan untuk mengurangkan jangkitan hepatitis baharu sebanyak 90 peratus dan kematian 65 peratus antara 2016 serta 2030.

Pakar Perubatan Dalam Hospital Pakar KPJ Kluang, Johor, Dr See Ming Yett berkata, ada banyak punca hepatitis, termasuk jangkitan virus hepatitis B, alkohol, hati berlemak, ubat-ubatan tertentu dan penyakit autoimun.

Menurutnya, gejala hepatitis boleh berbeza-beza daripada tiada gejala kepada ketidakselesaan perut, perubahan warna kekuningan pada kulit atau mata, kegatalan, loya, kurang selera makan, rasa kembung perut, penurunan berat badan, cirit-birit, muntah, demam, kaki bengkak dan lesu.

PERUBAHAN warna kekuningan pada mata adalah gejala hepatitis.
PERUBAHAN warna kekuningan pada mata adalah gejala hepatitis.

"Untuk mengenal pasti individu menghidap hepatitis, secara amnya ialah siasatan sejarah dan pemeriksaan fizikal menyeluruh dilakukan ke atas pesakit.

"Kemudian diikuti pelbagai ujian darah termasuk ujian fungsi hati, pemeriksaan virus dan pengimejan diagnostik seperti ultra bunyi, dapat memberi pengesahan dijangkiti hepatitis.

"Hasil ujian darah dan pengimejan diagnostik dapat mengenal pasti punca pesakit dijangkiti penyakit ini. Rawatan pula bergantung kepada punca bagaimana boleh dijangkiti penyakit itu," katanya.

Menyentuh mengenai komplikasi hepatitis Dr See berkata, hepatitis yang tidak dirawat boleh menyebabkan sirosis hati (iaitu tisu hati digantikan dengan tisu parut), mengakibatkan kehilangan fungsi dan kegagalan hati yang boleh menyebabkan barah hati serta kematian.

"Virus biasa yang boleh membawa kepada hepatitis ialah hepatitis A, B dan C. Virus hepatitis A merebak melalui najis dan pengambilan makanan dijangkiti virus hepatitis A.

"Manakala virus hepatitis B dan C merebak melalui rembesan cecair badan antara manusia, darah, hubungan seksual, perkongsian jarum dan ibu kepada bayi ketika bersalin," katanya.

Katanya, virus itu boleh dicegah apabila dapat mengetahui cara penularannya. Contohnya mengelak berkongsi barang peribadi seperti berus gigi, atau mengelak tingkah laku berisiko tinggi seperti hubungan seksual tanpa perlindungan atau berkongsi jarum.

VAKSIN untuk mencegah hepatitis.
VAKSIN untuk mencegah hepatitis.

"Terdapat vaksin untuk hepatitis A dan B yang mana individu boleh mendapatkan vaksin supaya tubuh mempunyai perlindungan terhadap virus ini. Malah, semua bayi dilahirkan di negara ini sedang divaksinasi untuk hepatitis B.

"Namun antibodi yang disebabkan oleh vaksin ini boleh berkurangan perlahan-lahan mengikut peredaran masa. Ujian darah secara berkala boleh membantu untuk melihat sama ada antibodi masih terdapat dalam badan.

"Jika antibodi berkurangan ke tahap rendah, pesakit boleh diberi suntikan vaksin semula," katanya.

Mengenai rawatan pula beliau berkata, ada rawatan untuk virus hepatitis ini dan langkah pertama mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

"Selepas disahkan, rawatan tertumpu untuk mengawal virus daripada terus merebak dan mencegah komplikasi sirosis hati atau parut hati.

"Rawatan awal dan susulan berkala memberikan hasil yang baik. Kesedaran mengenai penyakit ini amat penting bagi mengelakkan penularannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 6:11 AM