TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kombinasi rawatan baharu untuk jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) iaitu ubat ravidasvir secara kombinasi dengan ubat lain adalah pilihan tambahan mampu milik bagi jutaan pesakit yang menunggu akses rawatan penyakit itu.

Ini terutamanya bagi menyelamatkan nyawa di negara berpendapatan sederhana, selain ia selamat dan berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian klinikal label terbuka dijalankan untuk menilai tahap keberkesanan, keselamatan dan farmakokinetik kombinasi ravidasvir dan sofosbuvir (STORM-C-1) di Malaysia dan Thailand.

"Kombinasi rawatan ini selamat dan berkesan, termasuk untuk kes yang sukar dirawat, dan bagi pesakit yang menghidap HCV dan HIV.

"HCV, yang boleh menyebabkan penyakit hati kronik, sirosis (keradangan kronik yang merosakkan struktur normal organ), barah, dan kematian, menjangkiti kira-kira 58 juta orang di seluruh dunia.

"Namun sehingga kini, cuma kira-kira 13 peratus yang mendapat rawatan. Penyakit ini menyebabkan sekitar 300,000 kematian dalam setahun.

"Kerjasama dibentuk untuk mengatasi satu daripada cabaran sukar kesihatan awam dihadapi dalam dekad lalu, iaitu kekurangan akses kepada antivirus tindakan terus (direct-acting antiviral/DAA) – generasi baru rawatan HCV yang mampu menyembuhkan pesakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan – yang mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya hari ini mengenai rawatan hepatitis C yang julung kali dibangunkan melalui kerjasama Selatan-Selatan dan ubat pertama didaftarkan di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun hepatitis boleh disembuhkan, terdapat satu kitaran menghalang pemberian rawatan kepada mereka memerlukan.

Katanya, penyakit itu kebanyakannya 'pembunuh senyap', proses diagnostiknya rumit, jadi ramai dijangkiti tanpa sedar, dan kebanyakan DAA terlalu mahal.

"Kami membuat saringan aktif mencari pesakit 'hilang', melancarkan ujian diagnostik lebih ringkas, dan memastikan mendapat akses kepada harga terbaik untuk rawatan, termasuk dengan menjalankan penyelidikan klinikal bagi mengenal pasti pilihan rawatan tambahan dengan harga berpatutan.

"Pengumuman hari ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan panjang Malaysia mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk melenyapkan penyakit hepatitis C menjelang 2030," katanya.

STORM-C-1 ditaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Thailand serta Inisiatif bagi Ubat untuk Penyakit Diabaikan (DNDi), selain hasilnya diterbitkan dalam jurnal The Lancet Gastroenterology & Hepatology, April lalu.

Kadar penyembuhan jangkitan virus HCV kronik dalam kalangan orang dewasa yang pelbagai dikenal pasti berada pada tahap 97 peratus.

Ujian klinikal Fasa III oleh Pharco Pharmaceuticals Inc di Mesir sebelum ini, mendapati kombinasi berkenaan menunjukkan kadar penyembuhan hingga 100 peratus dalam kalangan pesakit HCV genetik jenis 4 (genotip 4) virus itu.

Malaysia sebelum ini dilapor menjadi negara pertama di dunia meluluskan penggunaan ravidasvir secara kombinasi dengan ubat lain bagi merawat jangkitan HCV kronik dalam kalangan orang dewasa.

Kelulusan pendaftaran bersyarat produk dikilangkan Doppel Farmaceutici SRL, Itali itu diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, pada 4 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 1:55 PM