Keadaan beberapa rumah musnah teruk akibat kebakaran di Rumah Rakyat Mantin, hari ini. FOTO BERNAMA
Keadaan beberapa rumah musnah teruk akibat kebakaran di Rumah Rakyat Mantin, hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Hasbi


Mantin: Tiga beranak termasuk seorang patah kaki berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan empat rumah di Rumah Rakyat Mantin, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, seekor anjing dan enam kucing milik salah sebuah keluarga rentung selepas dipercayai gagal keluar.

Mangsa N Vijaya, 52, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu di rumahnya sebelum terhidu bau asap dan mendapati bahagian siling rumah terbakar lalu mula merebak dengan pantas.

"Saya terlelap seketika sebelum terhidu bau asap lalu memaklumkan kepada dua anak yang berada di ruang tamu dengan salah seorang mengalami patah kaki supaya menyelamatkan diri.

"Kami tidak sempat menyelamatkan barang, namun sempat mengambil beg duit kerana api merebak dengan pantas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Seorang lagi mangsa, P Santhet, 54, berkata dia sangat sedih kerana seekor anjing dan enam kucing peliharaannya mati dalam kejadian berkenaan.

"Haiwan peliharaan saya tidak diletakkan di dalam sangkar, namun saya tidak pasti bagaimana mereka terperangkap dalam rumah kerana ketika kejadian saya keluar untuk bersarapan bersama suami dan hanya seorang anak berada di rumah.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anak berjaya menyelamatkan diri. Namun, banyak barang seperti perabot dan dokumen penting tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin, Priscilla Carol Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.44 pagi sebelum 13 anggota dengan bantuan BBP Nilai dikerahkan ke lokasi berkenaan.

"Kebakaran itu menyebabkan empat rumah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan 20 peratus.

"Tiada mangsa yang cedera atau maut kerana dua keluarga yang tinggal di dua rumah berkenaan sempat melarikan diri. Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:55 PM