DUA nelayan yang dilaporkan hanyut selepas bot dinaiki mereka kehabisan minyak ditemui selamat, petang tadi. FOTO Ihsan APMM
DUA nelayan yang dilaporkan hanyut selepas bot dinaiki mereka kehabisan minyak ditemui selamat, petang tadi. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


SELEPAS 24 jam gagal dikesan, dua nelayan yang dilaporkan hanyut selepas bot dinaiki mereka kehabisan minyak ditemui selamat, petang hari ini.

Dua beradik Muhammad Farikh, 31, dan Muhammad Afendi Daud, 29, ditemui bot nelayan lain di perairan Bagan Panchor, Pantai Remis pada 6.50 petang.

Difahamkan, mereka keluar ke laut sejak pagi semalam, tetapi bot dinaiki kehabisan minyak di sekitar Pulau Pasir Hitam, Trong di Taiping menghala ke perairan Pantai Remis, Manjung.

Akibat itu, rakan mangsa kemudian keluar mencari mereka, namun tidak ditemui selain gagal dihubungi sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11 pagi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Menurutnya, operasi pencarian meliputi kawasan seluas 115 batu nautika dengan keupayaan dua aset APMM iaitu kapal maritim Malawali dan Bot Penghalang 13.

“Bot dinaiki mangsa kehabisan minyak pada 5 petang semalam sebelum dihanyutkan hingga ke perairan Bagan Panchor.

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh bot nelayan lain pada 6.50 petang tadi.

“Mangsa kemudian dibawa ke jeti Bagan Panchor untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi turut membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan pasukan bomba yang melaksanakan pencarian di pesisir pantai sekitar Pulau Talang bersama beberapa bot nelayan tempatan.

Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Sungai Kerang, Trong di Taiping dilaporkan hanyut sejauh 23 batu nautika, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 9:36 PM