FADILLAH Yusof meninjau projek pembinaan jejambat Wakaf Bharu yang menghubungkan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor ketika Jelajah FTRoadPedia Zon Timur. FOTO Eizairi Shamsudin
FADILLAH Yusof meninjau projek pembinaan jejambat Wakaf Bharu yang menghubungkan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor ketika Jelajah FTRoadPedia Zon Timur. FOTO Eizairi Shamsudin
BERNAMA

Tumpat: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti sebarang risiko termasuk kemungkinan berlaku keruntuhan tebing atau cerun berkaitan keadaan jalan di Lebuhraya Timur Barat dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu susulan lebuh raya berkenaan menjadi satu daripada isu yang berbangkit terutamanya dalam media sosial yang didakwa berisiko tinggi kepada pengguna, termasuk mengundang kemalangan maut.

Fadillah berkata, berikutan itu, beliau serta pihak pengurusan tertinggi melakukan tinjauan serta pemantauan di kawasan berkenaan hari ini untuk melihat sendiri tindakan yang boleh diambil bagi penambahbaikan jalan, sekali gus menyiasat sama ada aduan itu berasas atau sebaliknya.

"Sekiranya hasil tinjauan yang dilakukan adalah betul seiring dengan aduan kita akan meneliti tindakan yang boleh diambil untuk penambahbaikan demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Projek Jejambat Wakaf Bharu Sempena Program Jelajah FTRoadpedia Zon Timur 3.0 di Tapak Projek Jejambat Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pihaknya turut mengalami cabaran yang sama membabitkan jalan di Lojing berikutan keadaan muka bumi di kawasan itu berisiko akan mengundang berlaku keruntuhan tebing dan cerun.

"Bagaimanapun, kita telah mengeluarkan banyak peruntukan untuk mengatasi keruntuhan tebing dan cerun ini. Namun, apa yang lebih utama adalah untuk kita mengenal pasti apa langkah pencegahan yang dapat dilakukan untuk mengurangkan risiko daripada kejadian itu berlaku," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, KKR juga akan mengunjungi Thailand pada bulan ini untuk melihat penyelesaian perancangan pembinaan Jambatan Muhibah yang menghubungkan kedua-dua negara.

"Di peringkat kerajaan Malaysia, kita merancang untuk membina jambatan berkenaan di Rantau Panjang, namun di peringkat kerajaan Thailand mereka ingin membina di Tak Bai.

"Oleh itu, pada bulan ini saya akan ke Thailand untuk melihat yang mana perlu diberi keutamaan agar dapat menyelesaikan pembinaan jambatan antara dua negara ini demi perhubungan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 3:48 PM