Roselan Ab Malek


Jerantut: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM 30 juta bagi membaiki segera kerosakan jalan utama Ulu Tembeling dari Kuala Tahan ke Mat Daling.

Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun berkata, dalam tinjauannya mendapati banyak berlaku kerosakan serius di sepanjang jalan itu yang memerlukan tindakan segera.

Katanya, jalan itu berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana terdapat empat lokasi sudah mendap dan runtuh selain terdapat beberapa runtuhan kecil di beberapa lokasi lain.

"KPLB akan mengambil langkah segera di mana kerja pembaikan sementara akan dilakukan minggu depan manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau kerja pembaikan kekal hujung November ini.

"Dalam masa yang sama kita akan melakukan kerja penyelenggaraan di sepanjang jalan ini termasuk memastikan longkang berada dalam keadaan baik bagi membolehkan aliran air berjalan lancar.

"Kita akan berhadapan dengan musim tengkujuh oleh itu semua longkang perlu diselenggara dengan baik kerana antara faktor berlaku runtuhan ada di sebabkan ada pergerakan tanah bawah jalan akibat aliran air yang tidak sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan kerja meninjau lokasi jalan yang mendap dan runtuh di sepanjang jalan Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling sejauh 48 kilometer itu.

Sebelum ini media melaporkan keresahan 2,000 penduduk beberapa kampung di Ulu Tembeling yang bimbang terputus hubungan kerana jalan yang mendap dan runtuh selain berbahaya kepada pengguna jalan raya terutama di waktu malam.

DATUK Ramlan Harun (tiga kiri) meninjau kerosakan jalan yang mendap dan runtuh dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling. FOTO ROSELAN AB MALEK.
DATUK Ramlan Harun (tiga kiri) meninjau kerosakan jalan yang mendap dan runtuh dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling. FOTO ROSELAN AB MALEK.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 10:16 AM