Nazri meninjau jalan mendap yang menghubungkan penduduk lima kampung di Ulu Tembeling dekat Jerantut. Foto Roselan Ab Malek
Nazri meninjau jalan mendap yang menghubungkan penduduk lima kampung di Ulu Tembeling dekat Jerantut. Foto Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Tidak sampai sebulan kerja baik pulih jalan dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling di sini, yang mendap disebabkan hujan lebat dilakukan, laluan itu kembali rosak selepas banjir baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah berkata, pada bulan lalu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM88,000 bagi kerja membaiki jalan berkenaan yang mendap.

"Namun selepas dibaiki, jalan itu sekali lagi rosak akibat hujan lebat baru-baru ini.

"Jika tidak dibaiki segera, jalan itu akan menjejaskan hubungan kira-kira 3,000 penduduk dari lima kampung di kawasan pedalaman Hulu Tembeling iaitu Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantal, Gusai dan Mat Daling," katanya.

Nazri berkata, kerajaan negeri sudah menyalurkan peruntukan kedua sebanyak RM50,000 bagi kerja menambak, meratakan dan menaburkan batu kerikil untuk menutup mendapan terbabit.

Katanya, kerja berkenaan sudah dimulakan semalam dan dijangka siap selewat-lewatnya minggu ini.

Beliau berkata, jalan itu penting kerana ia adalah satu-satunya laluan bagi lima buah kampung terbabit untuk penduduk berurusan di bandar Jerantut dan membeli barang keperluan harian.

"Kerja-kerja membaiki jalan itu merupakan usaha awal kerajaan negeri untuk memastikan penduduk terbabit dapat menggunakan jalan raya tanpa perlu menggunakan sungai sebagai jalan utama seperti lima tahun lalu.

"Secara keseluruhan, jalan yang rosak sepanjang 300 meter itu memerlukan kos sehingga RM2 juta dan ia memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan kelulusan peruntukan," katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata, terdapat juga beberapa runtuhan dan mendapan kecil di jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi, namun ia telah diletakkan papan tanda amaran oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 12:34 PM