MOHD Shahar (tengah) bersama pemenang tempat pertama hingga ketiga. FOTO Asrol Awang
MOHD Shahar (tengah) bersama pemenang tempat pertama hingga ketiga. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan optimis projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap mengikut jadual ditetapkan iaitu pada Disember 2026.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah, berkata setakat ini, pembinaannya mencapai sudah kemajuan sebanyak 25.09 peratus.

Katanya, terdapat beberapa lokasi pembinaan yang sudah melepasi jadual asal ditetapkan dan ia pencapaian membanggakan untuk memastikan projek ECRL siap mengikut perancangan.

"Bagi kemajuan projek ECRL di Pahang, ia sudah melebihi 28 peratus. Ia memiliki tujuh stesen ECRL yang dapat membantu mengurangkan masa perjalanan antara destinasi utama.

"Sebagai contoh, tempoh perjalanan dari Paya Besar, Kuantan ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa 90 minit sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan fotografi Discover ECRL di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Paya Besar di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), Kong Qi.

Pada majlis itu, Hamzi Faiz, 32 muncul pemenang tempat pertama dan menerima wang tunai RM 2,500, kedua diraih Velu Swamy manakala Mohd Faris Saffiq Sa'adon menduduki tempat ketiga.

Velu Swamy dan Faris Saffiq masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, ECRL juga berpotensi memacu industri pelancongan di Paya Besar, dan menjadikannya kawasan rekreasi yang popular sebagai destinasi pelancongan utama bagi pelawat dan penduduk tempatan.

"ECRL akan menambah baik perhubungan perjalanan untuk pelancong dari Lembah Klang dan negeri di Pantai Timur, sekali gus membolehkan mereka meneroka warisan asli serta lokasi tarikan pelancong termasuk air terjun Sungai Pandan, Bukit Panorama, Gua Charas dan Taman Eko Jerangkang di kawasan Paya Besar

"Ia juga akan merangsang aktiviti yang membabitkan perjalanan dan hospitaliti serta menggalakkan perniagaan dan peluang pelaburan selain meningkatkan prospek pekerjaan bersesuaian dengan penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 1:59 PM