KENDERAAN yang terbabas dan terbalik di kiri jalan menyebabkan mangsa tersepit.
KENDERAAN yang terbabas dan terbalik di kiri jalan menyebabkan mangsa tersepit.
Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang kontraktor maut manakala rakan wanitanya parah apabila kereta dinaiki terbabas dan terbalik di kiri jalan di Kilometer 26.2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam ketika pemandu kereta, Kamal Mohd Yaacob, 39, dan rakannya Faraizah Faizal, 42, dalam perjalanan dari Seremban ke sini.

Pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terbalik di kiri jalan menyebabkan mereka tersepit.

Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Pegawai Bomba Kanan II Munawir Md Yusuff, sebaik menerima panggilan, beliau bersama enam anggota bergegas ke lokasi kemalangan dan mengambil masa hampir 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, bomba terpaksa menggunakan lampu limpah kerana keadaan di tempat kejadian yang gelap dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 2:14 PM