KEADAAN rumah penduduk di Kampung Parit 6 yang dilanda banjir. Gambar kecil, anggota JPAM membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong.
KEADAAN rumah penduduk di Kampung Parit 6 yang dilanda banjir. Gambar kecil, anggota JPAM membantu memindahkan mangsa banjir di Changkat Jong.
Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seramai 242 mangsa banjir daripada 58 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan di empat daerah iaitu Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung dan Kerian selepas kediaman mereka dinaiki air sejak kelmarin dan pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madis berkata, setakat jam 6 petang semalam, empat pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong di Hilir Perak, Surau Nurul Jannah Kampung Parit 6, Parit, Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, Manjung dan SK Changkat Lobak di Kerian.

Menurutnya, dua pusat pemindahan di Daerah Hilir Perak (Teluk Intan) dan Perak Tengah (Parit) dibuka pagi semalam manakala dua lagi di Kerian dan Manjung, dibuka sejak kelmarin dan Isnin lalu.

“Banjir berlaku di beberapa kawasan di Changkat Jong, Teluk Intan iaitu Kampung Mesra, Kampung Baru Batu 8 dan Lorong Kedah Batu 9, hingga menyebabkan 106 orang daripada 25 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di SK Changkat Jong.

“Pusat pemindahan di Parit pula menempatkan 55 penduduk daripada 11 keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, katanya, dua pusat pemindahan lain iaitu Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, Manjung menempatkan 37 mangsa daripada 11 keluarga manakala di SK Changkat Lobak, Kerian, 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Yahya berkata, pihaknya menempatkan pegawai dan anggota di semua kawasan yang terjejas bagi memantau keadaan dan jika perlu menyelamat serta memindahkan penduduk ke kawasan selamat, selain membantu membersihkan kesan banjir.

“Keadaan banjir di Kerian setakat ini juga terkawal dan anggota bomba membuat pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa di kawasan yang mengalami banjir.

“Gotong-royong membersihkan kawasan yang sudah surut air turut dilakukan oleh anggota bomba,” katanya.

Menurutnya, sehingga lewat petang semalam, banyak kawasan sekitar Perak tidak mengalami hujan dan tiada penambahan kawasan baru yang terbabit banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:14 AM