GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PENGACARA televisyen antarabangsa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas teman wanitanya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Joey James Ghazlan, 40, atau lebih dikenali sebagai Joey G membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, Joey G didakwa melakukan kesalahan ugutan jenayah terhadap Patricia Sue Lin dengan menghantar e-mel ugutan bagi tujuan menakutkan mangsa di sebuah kondomonium di Sentul pada 2.19 pagi, 19 Mei 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.

Peguam K Shalvin dan Navin Punj memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dan tertuduh akan mematuhi segala syarat yang akan ditetapkan seperti pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu pengadu dan keluarganya serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:37 PM