ANTARA kawasan yang dinaiki air. FOTO ihsan APM
ANTARA kawasan yang dinaiki air. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


SERATUS tujuh puluh lapan mangsa meliputi 45 keluarga di enam kampung di Changlun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Changlun, hari ini susulan banjir akibat hujan lebat sejak semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamaruzamal Kasa berkata, hujan lebat selama lima jam sejak 7 malam menyebabkan air bertakung dan beberapa kawasan di Changlun mengalami banjir kilat.

Katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu menerima laporan PPS di SMK Changlun dibuka dan menggerakkan anggota untuk memberi bantuan.

"Antara kampung yang dinaiki air termasuklah Kampung Belukar, Kampung Nang Mah, Kampung Baru, Kampung Kubang Betong, Kampung Wang Perah dan Kampung Changkat Setoi.

"Seramai 127 mangsa dari Kampung Belukar dipindahkan bermula 9 pagi dan mangsa bertambah sehingga 11 pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 178 orang.

"Kita jangkakan bilangan mangsa akan bertambah kerana ada banyak lagi kawasan yang masih dinaiki air dan jika hujan berterusan pada petang ini, anggota APM Kubang Pasu bersedia untuk memindahkan lebih ramai mangsa di kawasan yang berisiko," katanya ditemui di PPS SMK Changlun hari ini.

Katanya, sehubungan itu penduduk yang tinggal berhampiran sungai boleh memaklumkan kepada penghulu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing, talian MERS 999 atau pasukan penyelamat jika memerlukan bantuan untuk pemindahan ke tempat selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 1:43 PM