MUHAMMAD Haikal Aqasyah Taib, 11, mendukung seekor kucing untuk dibawa ke tempat selamat selepas rumahnya ditenggelami banjir di Pekan Changlun hari ini. FOTO Bernama
MUHAMMAD Haikal Aqasyah Taib, 11, mendukung seekor kucing untuk dibawa ke tempat selamat selepas rumahnya ditenggelami banjir di Pekan Changlun hari ini. FOTO Bernama
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Sebanyak lapan kampung di kawasan ini dinaiki air antara 0.4 hingga satu mer dalam kejadian banjir akibat hujan lebat sejak petang kelmarin.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Titi Kerbau, Kampung Nang Mah, Kampung Masjid, Kampung Paya Lantau, Kampung Padang Pasir, Kampung Belukar, Kampung Paya Nongmi dan Pekan Changlun, di sini.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Ismaddi Ishak berkata, seorang wanita warga emas yang lumpuh di Kampung Nang Mah iaitu Habsah Ismail, 80,diusung keluar selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Menurutnya, kira-kira 200 keluarga terjejas apabila lapan kampung berkenaan ditenggelami air sejak jam 10 malam tadi, tetapi hanya warga emas terbabit dipindahkan manakala mangsa lain berada di rumah masing-masing.

"Anggota kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sekiranya paras air semakin naik, kita akan berusaha memindahkan lebih ramai mangsa ke tempat lebih selamat.

"Selain itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, turut membantu membawa mangsa yang meninggal dunia di Kampung Belukar untuk dibawa ke Masjid Changlun " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:48 PM