GAMBAR hiasan. FOTO Baharom Bakar.
GAMBAR hiasan. FOTO Baharom Bakar.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan jumlah kes kematian Covid-19 sebanyak satu angka selama 10 hari berturut-turut, selain jumlah kes positif yang menunjukkan trend penurunan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, hari ini, hanya satu kes kematian direkodkan di Lahad Datu.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 364 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 222,113 kes.

"Jumlah kes harian bagi negeri Sabah meneruskan trend penurunan berbanding semalam yang mencatatkan sebanyak 405 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, daripada 364 kes hari ini, 98 peratus adalah pesakit dalam kategori satu dan kategori dua.

Beliau berkata, hanya dua pesakit sahaja dalam kategori tiga, dua dalam kategori empat dan seorang kategori lima, sementara tiga lagi masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, seramai 990 pesakit Covid-19 sembuh menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 211,541 kes.

"Selain itu, 1,789 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 704 di hospital; 1,032 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 20 lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:47 PM