GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Hampir 100 peratus pesakit Covid-19 di Sabah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, 263 kes Covid-19 daripada jumlah keseluruhan kes harian yang dicatatkan semalam adalah pesakit kategori satu dan dua iaitu 97 peratus.

"Sementara itu, empat orang pesakit merupakan pesakit dalam kategori tiga, seorang dalam kategori empat manakala tidak ada pesakit dalam kategori lima, semalam.

"Sebanyak tiga kes lagi masih dalam siasatan dan penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya.

Dalam pada itu, Masidi dalam kenyataan media, semalam turut menjelaskan kadar kebolehjangkitan di Sabah mencatatkan 0.98.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kematian disebabkan Covid-19 yang direkodkan JKNS masih mengekalkan satu angka.

"Sebanyak tiga kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Pitas satu kes di Kota Kinabalu.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 445 menjadikan jumlah kumulatif 225,609 orang.

"Manakala 1,326 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 635 orang di hospital, 666 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 23 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan duaorang di fasiliti swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 12:55 PM