Tey Kok Kiew
Tey Kok Kiew
Amir Mamat


Melaka: Pakatan Harapan (PH) Melaka hampir memuktamadkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponennya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November hadapan.

Gabungan parti DAP, PKR dan AMANAH itu dikatakan sedang berbincang mengenai pengagihan kerusi berkenaan, namun masih belum mencapai persetujuan apabila ada dalam kalangan pemimpin parti terbabit meminta tambahan kerusi pada PRN ini.

DAP yang sebelum ini bertanding di lapan kerusi DUN, berharap dapat menambah sekurang-kurangnya dua lagi kerusi dengan alasan untuk menambah bilangan wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kelak untuk membawa suara rakyat.

Pengerusinya, Datuk Tey Kok Kiew berkata, jumlah itu memadai untuk memastikan calon yang diketengahkan akan dapat membantu PH membentuk kerajaan negeri jika berjaya memenangi PRN kelak.

"Setakat ini perbincangan dalam kalangan parti komponen PH sudah mencapai 80 peratus dan dijangka keputusan mengenainya akan dimuktamadkan minggu depan.

"Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kita bertanding di lapan kerusi dan semuanya menang, kali ini saya harap dapat tambah satu atau dua kerusi lagi untuk membolehkan DAP membantu PH membentuk kerajaan.

"Hasrat kita hendak berbakti kepada rakyat selain memantapkan lagi gabungan PH. Sebab itu kalau boleh nak tambah kerusi lagi," katanya tadi.

Pada PRU-14, DAP bertanding dan menang di kerusi DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban.

Sementara itu, PKR dijangka bertanding di 12 kerusi DUN pada PRN ini.

Ia membabitkan DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Rembia, Machap Jaya, Asahan, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Ayer Molek dan Rim, manakala AMANAH pula dijangka meletakkan calon di Taboh Naning, Durian Tunggal, Pantai Kundor, Bukit Katil, Telok Mas, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 5:07 PM