Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri memperoleh kutipan premium tanah bernilai kira-kira RM900 juta sehingga Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan hasil kutipan yang sudah mencecah RM2 bilion pada Jumaat lalu.

"Tanah menjadi salah satu daripada penyumbang terbesar (hasil kutipan) hasil cukai dan hasil bukan cukai. Hasil cukai seperti cukai pintu masih lagi berkaitan tanah, cukai premium juga hasil kita.

"Tahun ini sahaja kita dapat hampir RM900 juta dari RM2 billion itu, separuh daripadanya hasil premium dan hasil tanah. Tahun lalu, kita dapat capai RM1 billion dengan kutipan hasil tanah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK di sini, hari ini.

DATUK Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas Perhimpunan Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Amirudin berkata, jumlah kutipan RM2 bilion yang diperoleh sehingga Jumaat itu adalah 95 peratus daripada sasaran awal RM2.2 bilion bagi tahun ini.

"(Saya yakin) kita boleh capai sekurang-kurangnya RM2.1 billion, namun begitu ada peluang juga untuk capai pada sasaran, kita lihat akhir tahun ini.

"Tahun ini tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih panjang, kita juga mampu capai sudah mencecah RM2 billion..saya yakin kita akan dapat hasil pendapatan yang baik.

"Dengan itu, kita dapat berbelanja tahun depan termasuk untuk pemulihan ekonomi yang memberikan kebaikan dan kebajikan kepada rakyat," katanya.

Mengulas lanjut katanya, pembayaran cukai secara dalam talian menjadi pilihan tahun ini susulan negara berdepan pandemik Covid-19 dan PKP.

"Sebahagian program digitalisasi juga membantu kita mencatat kutipan cukai. Kira-kira lima pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah tanah mampu mencatatkan kutipan lebih 89 peratus.

"Ini membuktikan bahawa pembayaran secara dalam talian menjadi pilihan dan dilaksanakan di Lembah Klang," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kuala Langat akan menjadi kawasan yang menempatkan pemain industri pembuatan kertas di Asia Pasifik dan dunia membabitkan dua pemain industri dari China dan satu dari Jepun.

"Menjelang akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan, kita dapat melihat apa yang dilaksanakan, bagaimana projek ini memberikan peluang pekerjaan.

"Kerajaan negeri memperoleh hasil dari tiga syarikat ini sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion secara bertahap sejak 2018," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 1:13 PM