Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.32 bilion untuk tahun hadapan.

Perbelanjaan bagi tahun 2021 itu dijangka mengalami defisit berjumlah RM123 juta iaitu kira-kira RM10 juta lebih rendah daripada peruntukan dalam belanjawan tahun ini (2020).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM1.22 bilion atau 53 peratus (%) diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM1.1 bilion atau 47% bagi perbelanjaan pembangunan.

"Bagi tahun 2021, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 bilion setara dengan anggaran hasil tahun semasa. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri adalah Premium Tanah sebanyak RM1.03 bilion daripada hasil keseluruhan.

"Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM 545.84 juta bersamaan 24.81% manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM 206.85 juta (9.4%)," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.

Amirudin Shari berucap ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Amirudin Shari berucap ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Bangunan SUK, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Beliau berkata, kerajaan Selangor masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan demi manfaat rakyat, komuniti perniagaan dan pembangunan ekonomi.

"Kerajaan negeri berjaya mengurangkan defisit sejak tiga belanjawan lalu kepada jumlah yang munasabah menerusi usaha perbelanjaan berhemah, budaya kerja cekap dan berintegriti," katanya.

Pada sesi pembentangan itu, Amirudin turut mengumumkan lima strategi selari dengan tema belanjawan tahun ini iaitu Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat.

Beliau berkata, strategi berkenaan adalah Agenda Digitalisasi Selangor, Pemangkin Negeri Pintar Ulung; Selangor Sentosa, Ummah Sejahtera; Memacu Penciptaan Nilai dan Pembangunan Modal Insan; Memperkasa Kemampanan Alam Sekitar, Sumber dan Rantaian Bekalan Makanan serta Merancakkan Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 5:59 PM