Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dijangka akan mengumumkan penyelesaian jangka pendek dan panjang berhubung isu air di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata, perkara itu akan diumumkan oleh Amirudin dalam sesi pembentangan bajet pada petang ini.

"Dalam sesi taklimat tadi, kita terima maklum balas baik dari semua ahli Yang Berhormat dan Ahli Parlimen Wilayah serta Selangor mengenai cadangan penyelesaian isu air. Insya-Allah, petang ini akan dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor.

"Penyelesaian ini ada yang boleh dibuat segera, ada yang ambil masa setahun tetapi kita yakin 99 peratus selesai masalah gangguan bekalan air apabila berlaku pencemaran, satu peratus lagi perkara luar jangkaan," katanya.

Amirudin dijangka mengumumkan penyelesaian jangka pendek dan panjang isu air di Selangor petang ini. FOTO Facebook Amirudin Shari
Amirudin dijangka mengumumkan penyelesaian jangka pendek dan panjang isu air di Selangor petang ini. FOTO Facebook Amirudin Shari

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Pelan Perancangan Penyelesaian Masalah Bekalan Air di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran air di Auditorium Jubli Perak, Bangunan SUK di sini hari ini.

Izham berkata, pihaknya turut membentangkan penyelesaian jangka panjang yang mengambil kira tempoh tiga hingga lima tahun ke hadapan supaya bekalan air lebih stabil dan hebat.

"Ini membabitkan kajian air lain termasuk kajian sumber air bawah tanah supaya perancangan sumber air di masa akan datang untuk jangka panjang akan berterusan, jadi kita akan tengok pembangunan air secara keseluruhan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sebanyak enam kali tahun ini disebabkan pencemaran sungai.

Insiden itu mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual sehingga menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:26 PM