SUNGAI di Kampung Charuk Padang lokasi mangsa dilihat kali terakhir sebelum dilaporkan hilang di kawasan itu. FOTO Ihsan Bomba
SUNGAI di Kampung Charuk Padang lokasi mangsa dilihat kali terakhir sebelum dilaporkan hilang di kawasan itu. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas disyaki hilang di kawasan sungai di Kampung Charuk Padang, Sik, di sini hari ini.

Mangsa, Ekliau Edintin, 82, berketurunan Siam itu dipercayai hilang berhampiran rumahnya di kawasan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.08 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali tiba di lokasi pada 9.11 pagi.

"Operasi mencari dan mengesan (SAR) mangsa dilakukan membabitkan seramai lapan anggota.

"Selain itu, operasi turut disertai penduduk kampung, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setibanya di lokasi pihaknya dimaklumkan waris, mangsa disyaki hilang di kawasan sungai berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa dilihat kali terakhit pada jam 3 petang semalam di kawasan tebing sungai berkenaan.

"Ketua Operasi kemudian mengarahkan anggota melakukan pencarian di permukaan air dan kawasan belukar berhampiran.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani digerakkan ke lokasi ke tempat kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 11:22 AM