Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama Covid-19 di negara ini membabitkan subvarian Delta AY.4.2.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, subvarian itu dikesan membabitkan kes import iaitu penuntut Malaysia yang baru pulang dari United Kingdom (UK).

Menurutnya, dua kes berkenaan tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Oktober lalu dan ujian calitan RT-PCR yang dijalani oleh mereka adalah negatif bagi sampel pertama.

"Bagaimanapun, ujian bagi keputusan berkenaan positif apabila diuji pada sampel kedua yang diambil pada 7 Oktober lalu ketika tempoh kuarantin dilaksanakan.

"Sampel berkenaan kemudiannya menjalani penjujukan genom penuh di Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan laporan keputusan itu dikeluarkan pada 30 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, varian AY.4 adalah satu daripada 75 'lineage' yang berasal dari Delta.

"Satu 'sublineage' AY.4 adalah varian AY.4.2 yang juga dikenali sebagai 'Delta Plus'. Varian AY.4.2 ini mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V.

"Sehingga akhir Oktober lalu, variant AY.4.2 adalah 10 peratus daripada jumlah penjujukan genom penuh yang dijalankan di UK.

"Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada 20 Oktober lalu menetapkan AY.4.2 sebagai variant dalam siasatan (VUI)," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap varian ini dan langkah-langkah seperti kuarantin, pengujian dan sebagainya yang dijalankan dapat membantu mengurangkan risiko penularan varian berkenaan di Malaysia terutama di PMA.

"KKM akan terus memantau dengan teliti dari semasa ke semasa bagi mengesan kewujudan subvarian Delta dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kajian berterusan yang dijalankan oleh beberapa pihak berjaya mengenal pasti 90 kes baharu yang mempunyai varian membimbangkan (VOC) Delta (B.1.617.2).

Beliau berkata, 44 kes yang mempunyai varian Delta itu dikesan oleh oleh Institut Kajian Perubatan (IMR), manakala 46 kes lagi oleh UMBI-UKM.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 3,782 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 3,762 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI.

"Secara keseluruhan, bagi VOC terdapat sebanyak 3,522 kes varian Delta, Beta (226 kes) dan Alpha (14).

"Bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes daripada Theta, Kappa (empat) dan Eta (tiga)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:34 PM