GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sebanyak 88 kes baharu varian hasil penjujukan genom dijalankan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (FOM-UM) dan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, FOM-UM mengenalpasti 65 kes baharu varian membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2) manakala UMBI-UKM mengenalpasti 23 kes baharu varian Delta.

Beliau berkata, sehingga kini, jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah sebanyak 3,918 kes.

"Sebanyak 3,898 kes daripada jumlah dikesan itu adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 3,658 kes varian Delta; 226 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Data menunjukkan 19 kes dikesan di Selangor; 17 kes di Perak; Negeri Sembilan (13); Johor (sembilan); Kelantan (lapan); Kedah (tujuh); Terengganu (enam); Perlis (empat); Kuala Lumpur (tiga) dan dua kes di Melaka.

KKM melaporkan, negeri tertinggi mencatatkan kes jangkitan VOC dan VOI setakat ini adalah Sarawak, disusuli Selangor dengan 481 kes; Johor (260); Pulau Pinang (239); Sabah (161); Pahang (157); Negeri Sembilan (138); Kuala Lumpur (136); Melaka (97); Kedah (95); Kelantan (86); Perak (80); Terengganu (69); Perlis (33); Labuan 22) dan 14 kes di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 9:38 PM