KAWASAN perumahan di Panchor, Pantai Remis yang dilanda banjir susulan air pasang besar. FOTO ihsan pembaca
KAWASAN perumahan di Panchor, Pantai Remis yang dilanda banjir susulan air pasang besar. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Wanita warga emas tidak sempat mengemas barang dan pekakas elektrik apabila rumahnya dinaiki air akibat fenomena air pasang besar, malam tadi.

Joriah Harun, 60, antara 70 mangsa daripada 21 keluarga di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Panchor, Pantai Remis di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor yang dibuka pada 8 malam.

Juriah berkata, air di rumahnya sudah surut pada 6 pagi tadi, namun masih ada beberapa rumah di kawasan rendah dinaiki air setinggi kira-kira satu meter (m) belum surut sepenuhnya.

Menurutnya, fenomena air pasang besar sebelum ini hanya menyebabkan kira-kira enam rumah di kawasan paling rendah terjejas dan dinaiki air.

"Rumah saya tidak dinaiki air sebelum ini tapi air pasang kali ini turut menjejaskan rumah saya dan beberapa rumah lain. Air dalam rumah setinggi kira-kira 0.6 m.

"Tak sangka air naik rumah kerana dimaklumkan Bagan Datuk saja terbabit fenomena (kawasan berisiko), jadi anggap macam air pasang seperti sebelum ini saja.

"Itu yang saya tak buat persiapan, memang tak sempat nak letak barang di tempat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia akan kembali ke rumahnya untuk membersihkan rumah dan berharap kejadian sama tidak berulang.

Sementara itu, Pegawai Operasi dan Bencana APM Manjung, Leftenan (PA) Shamsur Shahuddin berkata, setakat ini jumlah mangsa di PPS masih kekal 70 orang membabitkan 21 keluarga.

Katanya, keadaan di lokasi terkawal dan pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan berkala.

"Air sudah surut tetapi berkemungkinan akan naik semula 4 petang ini. Kita akan terus pantau keadaan dan ada penduduk balik sementara untuk membersihakan rumah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 12:14 PM