GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang wanita berputih mata apabila diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM1.2 juta.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Superintendan Tan Poh Cheok berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pembangun perisian teknologi maklumat berusia 61 tahun itu, semalam.

Menurutnya, wanita itu mendakwa menerima panggilan daripada individu mengaku kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan mempunyai tunggakan cukai dan terbabit kes pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh individu lain mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka memaklumkan namanya tersenarai sebagai individu dikehendaki.

"Pemanggil meminta mangsa mengaktifkan akaun bank miliknya untuk proses siasatan selain diminta menyalurkan semua maklumat termasuk penyata gaji, insurans, bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saham dimilikinya.

"Mangsa turut diarahkan membuat beberapa transaksi dari akaun lain dan wang pengeluaran KWSP milik mangsa ke dalam akaun bank yang baru diaktifkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tanpa pengetahuan mangsa, wang dalam akaunnya berjumlah RM1,215,600 sudah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa turut menerima surat pemakluman melalui aplikasi WhatsApp bahawa transaksi pindahan wang berkenaan adalah bagi tujuan pembekuan akaun.

Berikutan kejadian itu, Tan berkata, mangsa membuat laporan polis dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:50 PM