ANTARA pengunjung pusat hiburan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pengunjung pusat hiburan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Keseronokan 43 individu berhibur di sebuah pusat hiburan di ibu kota terbantut selepas mereka dikenakan kompaun berjumlah RM235,000. tengah malam tadi.

Ia selepas semua individu terbabit didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Datuk Azman Ayob berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati, premis itu beroperasi semasa tempoh PPN.

"Kami mengeluarkan kompaun berjumlah RM235,0000 kepada 43 individu membabitkan 27 lelaki dan 16 wanita yang berada di pusat hiburan berkenaan.

"Selain itu, kami turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM25,000 terhadap pemilik premis berkenaan atas kesalahan menjalankan aktiviti terlarang di dalam pub dan kelab malam.

"Tindakan kompaun itu diambil mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, 43 pengunjung berkenaan turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan kesemua mereka didapati negatif dadah.

"Kami berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras sebanyak 441 botol dianggarkan bernilai RM220,500 atas kesalahan mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967 serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967.

"Operasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 10:02 AM