RUMAH yang terbakar di Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan malam tadi. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
RUMAH yang terbakar di Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan malam tadi. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan : Seorang bayi lelaki rentung selepas sebuah rumah di Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, mangsa dikenali sebagai Adam berusia kira-kira satu tahun, dilaporkan rentung akibat kebakaran berkenaan.

Difahamkan, rumah yang disewa itu dihuni kira-kira 20 penghuni termasuk keluarga bayi berkenaan.

Ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada rumah dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.09 malam.

Menurutnya, sejurus itu 18 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

"Pada jam 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jimmy berkata, mayat bayi itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 8:16 AM