ANGGOTA bomba menjalankan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
ANGGOTA bomba menjalankan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan :Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang disambar buaya selepas pulang solat Isyak dari Masjid At-Taqwa Taman Merpati berdekatan Sungai Seguntor, semalam, masih belum menemui sebarang petunjuk.

Mangsa dikenali sebagai Abdul, berusia dalam lingkungan 50 tahun belum ditemui sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal, seorang saksi memberitahu mangsa dilihat menaiki rakit diperbuat daripada buluh menyeberang sungai.

Menurutnya, mangsa hendak pulang ke rumahnya yang terletak dalam jarak 100 meter dari tebing sungai terbabit.

"Ketika menyeberangi sungai, mangsa disyaki disambar oleh buaya. Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun hilang dari pandangan saksi.

"Susulan itu, polis sudah mengaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian ( PKTK ) di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, SAR sedang giat dilaksanakan sejak semalam bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, SAR semalam diluaskan radius pencarian di sepanjang sungai sejauh lima kilometer.

"Pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

"Bagaimanapun, masih belum menemui sebarang petunjuk," katanya.

Terdahulu, kira-kira jam 8.50 malam, mangsa yang baru pulang dari menunaikan solat Isyak di masjid menyeberang sungai menggunakan rakit untuk pulang ke rumahnya sebelum disambar buaya.

Berita berkaitan:

  • Disambar buaya ketika berakit
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 4:39 PM