LELAKI maut akibat digilis selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Jalan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
LELAKI maut akibat digilis selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Jalan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO IHSAN PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki maut akibat digilis selepas terjatuh apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Jalan Taman Setiawangsa, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2.15 petang ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Jelatek menghala ke Keramat AU berada di lorong paling kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 21 tahun dari arah sama memasuki lorong kanan secara tiba-tiba.

Menurutnya, motosikal berkenaan kemudian bergesel di bahagian sisi kiri lori terbabit lalu terjatuh dan digilis oleh kenderaan itu.

"Akibat itu, penunggang motosikal berkenaan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 7:53 PM