FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


LELAKI mengaku salah di Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini selepas dituduh memiliki air ketum ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di FELDA Jaya Selatan, 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, Majistret Khir Nizam Jemari mengarahkan tertuduh Azmeerudin Maskam, 20, diikat jamin RM2,300 sementara menunggu laporan kimia pada 11 Jun ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang diperiksa di Sekatan Jalan Raya (SJR) FELDA Jaya Selatan pada 4 petang 1 Mei lalu didapati memiliki cecair berwarna perang air ketum berisi padu 1.5 liter.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama.

Tertuduh turut didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11 peraturan sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di dalam kawasan jangkitan.

Bagi kesalahan itu, Khir Nizam menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari dan denda RM800 dan dihukum penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:24 PM