DATUK Seri Najib Tun Razak keluar selepas membuat laporan terhadap bekas Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leissner di berhubung skandal 1MDB di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Najib Tun Razak keluar selepas membuat laporan terhadap bekas Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leissner di berhubung skandal 1MDB di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pengarah Goldman Sachs Tim Leissner.

Ia bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berkata, tindakannya itu berikutan beliau sudah kehabisan usaha untuk mendapatkan senarai nama individu daripada syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia, yang didakwa pernah disogok Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah di AS tahun lalu, yang menyaksikan Goldman Sachs bersetuju untuk membayar ganti rugi US$3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

"Pada awal tahun ini, peguam saya berjaya memenangi kes di AS untuk mendapat senarai nama dalam pengakuan Tim Leissner yang telah disogok beliau.

"Namun, kerajaan AS melalui DOJ membantah keputusan mahkamah AS dan menghalang nama-nama terbabit didedahkan," katanya kepada media selepas membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM di sini, pagi tadi.

Najib berkata, ketika itu, seorang peguam daripada firma guaman terkenal, Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs Roger Ng, pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa senarai nama itu adalah bukti yang memihak kepadanya (exculpatory evidence), yang boleh membersihkan nama beliau sebagai terbabit dalam penipuan 1MDB.

Najib berkata, susulan perkembangan di AS, pada pertengahan tahun ini, barisan guamannya juga pernah meminta mahkamah dan pihak pendakwaan untuk mendedahkan senarai nama berkenaan, namun usaha itu gagal.

Kata Najib, beliau hairan mengapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang disogok Leissner sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta ganti rugi sejumlah RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

"Ini amat penting atas prinsip untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Kalau kita percaya kepada peraturan undang-undang dan perbicaraan yang adil, nama-nama ini perlu didedahkan.

"Sebab, ia membabitkan bukan saja prinsip perbicaraan adil tetapi kredibiliti saksi adalah perkara utama dalam soal menuntut keadilan," katanya.

Najib berkata, apabila permohonan pihaknya melalui mahkamah di AS untuk mendapatkan dokumen berkenaan dihalang oleh DOJ, ia menyebabkan Najib terpaksa meminta Peguam Negara memulakan proses ekstradisi terhadap Leissner atau mendapatkan maklumat berkenaan daripada pihak berkaitan.

Pada 21 Julai lalu, Najib gagal mendapatkan dokumen 1MDB membabitkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Goldman Sachs selepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonannya.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, maklumat yang ingin diperoleh oleh pembelaan bukanlah sebahagian daripada kes pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:31 PM