Redzuan Muharam


Seri Kembangan: Seramai 32,000 pekerja asing sektor perladangan akan dibawa masuk secara berperingkat mulai bulan hadapan bagi membolehkan sektor itu kekal beroperasi.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan bagaimanapun perlu bertanggungjawan dan menyediakan kemudahan sewajarnya buat pekerja itu termasuk tempat tinggal yang mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Saya bukan berani nak bawa masuk (pekerja asing) kerana jika apa-apa berlaku, saya juga akan dituduh.

"Bagaimanapun, saya sedar mereka (pemain sektor perladangan) betul-betul perlukan pekerja asing sebab tiada orang untuk uruskan perusahaan mereka.

"Harap orang tempatan ambil peluang tetapi mereka (warga tempatan) masih tidak minat kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), walaupun Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) misalnya, sanggup bayar lebih RM2,000 termasuk imbuhan lain untuk pekerja," katanya.

Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dilapor bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk membenarkan kemasukan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, bukan hanya sektor perladangan, malah sektor lain turut memerlukan khidmat pekerja asing untuk kelangsungan operasi.

Katanya, kementerian akan berbincang dengan industri terlebih dahulu selain menetapkan prasyarat untuk memastikan mereka telus dalam menentukan jumlah pekerja dan kemudahan.

"Selain itu, mereka (majikan) perlu yakinkan kementerian yang kerja lain seperti di pejabat dan sebagainya harus diberi kepada warga tempatan," katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada Abdul Razak Basiron iaitu datuk yang juga penjaga lima kanak-kanak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 di Kota Perdana, di sini hari ini.

Kunjungannya turut diiringi Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:39 PM