Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan tetap dengan pendirian untuk mengutamakan rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan walaupun industri berkenaan berdepan kekurangan hampir 100,000 pekerja.

Beliau berkata, pengambilan pekerja asing adalah alternatif terakhir yang akan dilaksanakan kerajaan sekiranya masih terdapat kekosongan pekerja.

"Kita (kementerian) menyedari berlaku kekurangan pekerja kira-kira 100,000 orang dalam sektor perladangan dan perkembangan itu diberitahu oleh majikan dalam sektor terbabit.

"Setakat ini, kita membuka peluang pekerjaan di sektor itu kepada rakyat tempatan dahulu dan pengambilan pekerja asing adalah usaha terakhir kita.

"Kita juga sedar pendapatan negara amat terjejas ketika ini, tetapi keutamaan kerajaan adalah pekerja tempatan," katanya pada sidang media selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada keluarga mendiang V Vijaya Kumaran di Taman Puchong Perdana di sini, hari ini.

Saravanan berkata, beliau mengetahui sektor perladangan terutama kelapa sawit kini berdepan kerugian berbilion ringgit selain turut menjejaskan pendapatan negara namun kerajaan sudah memperincikan perkara itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia khususnya mereka yang tercicir dalam pelajaran amat digalakkan memohon pekerjaan dalam sektor perladangan.

"Kita bukan suruh graduan universiti untuk bekerja di ladang sebaliknya mereka yang mungkin keciciran pelajaran atau dalam kalangan golongan B40 yang mahu mencari kerja boleh mengambil kesempatan ini," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung peraturan tetap operasi dan penyediaan pusat kuarantin pekerja asing berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) bagi menampung 2,000 pekerja seperti diumumkan sebelum ini, beliau berkata, perkara itu masih dalam proses tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:12 PM