Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 30 peserta Quick Win anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sabah menerima bantuan kit peralatan masakan berasaskan pastri seperti ketuhar elektrik, mesin pengadun makanan dan meja keluli.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan kit peralatan ini diberikan berdasarkan kepada kursus yang diikuti dengan kadar maksimum bantuan peralatan sebanyak RM4,000 bagi setiap peserta.

"Pemilihan peserta Quick Win adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria antaranya kumpulan B40 dan yang memulakan perniagaan secara kecil kecilan serta menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan.

"Kementerian melalui Kemas sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar khususnya bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk mencari peluang-peluang baru dalam perniagaan perusahaan kecil-kecilan di rumah seperti membuat kek, pastri dan juga kuih-kuih tradisional," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahdzir menyerahkan kit berkenaan dalam satu majlis di Dewan Kampung Petagas, Putatan, hari ini.

Mahdzir menyerahkan kit peralatan masakan kepada peserta Quick Win.
Mahdzir menyerahkan kit peralatan masakan kepada peserta Quick Win.

Mahdzir berkata, program yang mula dilaksanakan pada tahun 2017 dan sehingga tahun 2020 program berkenaan mempunyai 16,293 peserta.

"Antara bidang paling menjadi pilihan adalah bidang masakan iaitu membabitkan seramai 4,416 peserta.

"Walaupun negara kita berhadapan dengan penularan pendemik Covid-19, namun ia tidak menghalang Kemas untuk mengadakan kursus secara dalam talian sebagai alternatif bagi memastikan Kemas tetap mendampingi masyarakat luar bandar dan berjaya mensasarkan seramai 760 peserta yang akan menerima manfaat darilada pelaksanaan program Quick Win kali ini," katanya.

Menurutnya, bagi Sabah, seramai 1,672 peserta menerima bantuan Quick Win sejak tahun 2017 sehingga 2021 membabitkan peruntukan sebanyak RM2.49 juta.

"Kursus Kemahiran Quick Win mensasarkan kumpulan belia dan beliawanis B40, peserta kelas kemahiran Kemas, ibu tunggal, suri rumah dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pelaksanaan kursus ini diharap dapat memberi impak dalam memberikan pendedahan kepada peserta yang berpotensi dan ingin menambah pendapatan dalam bidang kemahiran yang diceburi dan seterusnya mampu untuk menjadi pengusaha luar bandar yang berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 9:07 PM