Datuk Henry ( dua dari kanan) melakukan lawatan kerja sempena Program Komuniti Sejahtera anjuran KEMAS Sipitang, Sabah, tadi.
Datuk Henry ( dua dari kanan) melakukan lawatan kerja sempena Program Komuniti Sejahtera anjuran KEMAS Sipitang, Sabah, tadi.
Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Program dan aktiviti dianjurkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) harus dimanfaatkan masyarakat khususnya di luar bandar dalam usaha memastikan matlamat pembangunan ekonomi membabitkan kawasan itu dapat dicapai.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong berkata, meskipun KEMAS cukup sinonim dengan tabika dan taska, pelbagai program lain dilaksanakan jabatan itu dari semasa ke semasa bagi menambahkan pendapatan, pendidikan dan kemahiran masyarakat luar bandar.

Melalui misi Luar Bandar Sejahtera, pelaksanaan program disusun sebaik mungkin termasuk kepada golongan sasar seperti wanita dan golongan buta huruf.

"Di sini (Sipitang, Sabah) saja, kita (KEMAS) ada 45 tabika dan 41 pendidik masyarakat (guru) yang memberi pendidikan awal kepada 566 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun pada tahun ini.

"Jumlah ini tidak termasuk tiga taska khas diselia tujuh pendidik masyarakat yang turut menyediakan perkhidmatan buat 55 kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun.

"Golongan wanita pula diberi peluang untuk menambah kemahiran melalui Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK). Saya difahamkan sudah ada 12 kelas di Sipitang untuk mereka ikuti bagi mengupayakan mereka dalam kemahiran tertentu," katanya sempena Program Komuniti Sejahtera anjuran KEMAS Sipitang, Sabah, tadi.

Mengulas lanjut, jelas Henry, bermula pada 2018, KEMAS Sipitang turut memulakan program yang menyasar kemahiran dalam bidang jahitan dan makanan dikenali sebagai 'Quick Win'.

Menurutnya, seramai 45 peserta berjaya dibantu menerusi program itu dari segi pemberian kursus dan bantuan peralatan selain pendedahan untuk mengembangkan perniagaan.

"Terdapat juga kelas khusus untuk golongan buta huruf iaitu Pendidikan Literasi Fungsian (PLF). Tahun ini hanya satu kelas dibuka membabitkan 11 peserta sekali gus menjadi petanda masyarakat luar bandar buat huruf semakin berkurang.

"Menjadi harapan saya untuk melihat semua program dan aktiviti anjuran KEMAS bukan saja di Sipitang malah dimana saja mendapat sambutan masyarakat terutamanya luar bandar, antaranya demi merealisasikan matlamat pembangunan ekonomi mereka," katanya.

Sempena program itu, sejumlah RM140,000 diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui KEMAS khusus bagi tujuan baik pulih tujuh tabika terpilih di daerah terbabit.

Sejumlah RM50,000 turut diumum sebagai peruntukan menaik taraf Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) di daerah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 8:29 PM