MAHDZIR (tengah) meninjau  jalan raya kampung yang sedang dinaik taraf menjadi laluan konkrit ketika tinjauan di Kampung Pulau Penampang, baru-baru ini.
MAHDZIR (tengah) meninjau jalan raya kampung yang sedang dinaik taraf menjadi laluan konkrit ketika tinjauan di Kampung Pulau Penampang, baru-baru ini.
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan kementeriannya akan memberi tumpuan ke atas semua projek naik taraf membabitkan beberapa kemudahan asas utama luar bandar di Sabah.

Beliau berkata, tiga infrastruktur asas yang menjadi keperluan paling penting serta memerlukan kos pelaksanaan tinggi adalah jalan raya, bekalan air dan elektrik luar bandar.

"Empat projek menjadi keutamaan membabitkan semua kemudahan terbabit adalah jalan luar bandar, projek jalan perhubungan desa, bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik luar bandar.

"Semua ini boleh saya katakan keutamaan kami di KPLB bagi pembangunan di seluruh negeri ini bersesuaian dengan aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat projek menaik taraf jalan raya Kampung Pulau Penampang di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir memaklumkan Sabah menerima peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi semua projek pembangunan luar bandar sepanjang tahun 2021.

Menurut Mahdzir, menerusi jumlah itu, sebanyak RM150 juta diagihkan untuk projek jalan kampung.

Sementara itu, beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa projek luar bandar yang mengalami kelewatan untuk disiapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Bagaimanapun, Mahdzir turut memaklumkan pergerakan yang terhad bukan sahaja dihadapi untuk sektor pembinaan, tetapi semua sektor yang ada di seluruh negara.

Projek naik taraf jalan raya beri kemudahan penduduk

Pelaksanaan projek naik taraf jalan raya di Kampung Pulau Penampang, dekat Kota Kinabalu, memberi kemudahan kepada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.

Ketua Kampung Pulau Penampang, Yuspensus Philippus berkata, dia selaku wakil penduduk menzahirkan rasa terima kasih kepada kementerian berkaitan atas bantuan naik taraf jalan raya di kampung berkenaan.

"Sebelum ini, jalan raya berkenaan sudah pernah dinaik taraf kepada jalan berbatu sekitar tujuh tahun lalu ekoran keadaan jalan yang berlumpur setiap kali hujan lebat.

"Kini kita bersyukur kerajaan sekali lagi memberi keutamaan kepada penduduk di sini dengan menaik taraf semula jalan sama kepada jalan raya konkrit.

"Hal ini disebabkan jalan raya sejauh lebih 100 meter itu memberi faedah kepada kira-kira 300 penduduk berikutan jalan raya berkenaan adalah antara laluan keluar masuk utama ke Kampung Pulau Penampang," katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid ke kampung berkenaan, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulau Penampang, Isaha Lakandu berharap kerajaan akan lebih banyak menumpukan projek naik taraf di kampung berkenaan pada masa depan.

"Ia termasuklah naik taraf sistem perparitan dan membuat penghadang konkrit di bukit berhampiran untuk menahan hakisan dan tanah runtuh.

"Keadaan parit yang sudah lama tidak dinaik taraf juga mengakibatkan berlakunya banjir walaupun hujan hanya berlarutan selama satu jam," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan kementeriannya akan memberi tumpuan ke atas semua projek naiktaraf membabitkan beberapa kemudahan asas utama luar bandar di Sabah.

Beliau berkata tiga infrastruktur asas yang menjadi keperluan paling penting serta memerlukan kos pelaksanaan tinggi adalah jalan raya, bekalan air dan elektrik luar bandar.

"Empat projek yang menjadi keutamaan melibatkan semua kemudahan terbabit adalah jalan luar bandar, projek jalan perhubungan desa, bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik luar bandar.

"Semua ini boleh saya katakan keutamaan kami di KPLB bagi pembangunan di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat projek menaik taraf jalan raya Kampung Pulau Penampang.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan peralatan kit kepada 30 peserta Kursus anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Sabah di Dewan Kampung Petagas.

Di samping itu, Mahdzir juga melawat projek naik taraf jalan konkrit di Kampung Ratau, Manggatal.

MAHDZIR beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Penyampaian Peralatan Kit Quick Win di Dewan Kampung Petagas.
MAHDZIR beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Penyampaian Peralatan Kit Quick Win di Dewan Kampung Petagas.

Sumbangan peralatan bantu luas perniagaan

"Sebelum ini saya hanya guna peralatan memasak milik ibu mentua sekiranya ada tempahan kek atau kuih-muih secara kecil-kecilan.

"Dengan bantuan peralatan diberikan, saya bukan sahaja boleh meneruskan minat dalam bidang kulinari tetapi bercadang mahu meluaskan perniagaan makanan yang diusahakan bersama suami," katanya penerima kit peralatan , Cecillia Razali, 35.

Mula berniaga kecil-kecilan sejak tahun 2017, Cecilia berkata dia tidak menyangka dipilih menjadi salah seorang penerima bantuan berkenaan kerana niat asal hanya mahu menimba ilmu menerusi kursus kemahiran dalam bidang masakan khususnya bakeri yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Cecilia yang kini turut membuka gerai menjual nasi lemak dan nasi kuning dengan aneka jenis lauk-pauk menyatakan bantuan seumpama itu dilihat mampu meringankan beban peniaga kecil dan sederhana termasuklah suri rumah dan ibu tunggal untuk memiliki peralatan memasak sendiri.

"Kita sedar dan faham harga peralatan memasak seperti ketuhar elektrik dan mesin pengadun tidak murah malahan saya sendiri sebelum ini terpaksa meminjam peralatan kepunyaan ibu mentua.

"Bantuan ini juga secara tidak langsung dapat membantu individu memerlukan menjana pendapatan keluarga atau mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan penerima," katanya merancang membuka sebuah restoran sebagai perancangan jangka masa panjang.

Seorang lagi penerima, Hida Yannie Masulin, 22, turut menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan biskut serta kuih yang diusahakannya sejak dua tahun lalu.

"Perniagaan saya sekarang lebih tertumpu kepada menjual pelbagai jenis biskut dan kuih-muih tradisional.

"Namun melihat bantuan peralatan diberikan, saya bercadang meluaskan lagi perniagaan untuk memasarkan aneka jenis roti dan bun pula selepas ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Peralatan Kit di Dewan Kampung Petagas, Putatan, baru-baru ini.

Turut hadir menyampaikan sumbangan peralatan adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seramai 30 orang peserta Kursus anjuran KEMAS Wilayah Sabah menerima bantuan peralatan masakan berasaskan pastri seperti ketuhar elektrik, mesin pengadun makanan dan meja keluli.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pemilihan peserta KEMAS adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria termasuklah terdiri dari kumpulan B40 dan individu yang sudah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

MASRI (tiga dari kanan) bersama keluarganya di hadapan  rumah PPRT yang  diterima mereka di Kampung Tanjung Batu, Kota Marudu, baru-baru ini.
MASRI (tiga dari kanan) bersama keluarganya di hadapan rumah PPRT yang diterima mereka di Kampung Tanjung Batu, Kota Marudu, baru-baru ini.

Impian miliki rumah sendiri tercapai

"Sudah 18 tahun kami sekeluarga menanti memiliki rumah sendiri.

"Saya bersyukur akhirnya hasrat itu tercapai dengan bantuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Giatmara," kata penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bina baharu, Masri Bakri, 45, di Kota Marudu.

Menyara kehidupan keluarga menerusi aktiviti menangkap ikan, Masri berkata dia dan keluarga sebelum ini menetap di rumah ibu bapa terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata berusia antara tujuh sehingga 18 tahun itu, dia berkata rumah baharu berkenaan mengambil masa dua bulan untuk dibina sebelum siap sepenuhnya pada pertengahan April tahun ini.

"Walaupun pendapatan saya terganggu disebabkan pandemik Covid-19 namun tidak menyangka tahun ini kami dapat menyambut Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha di rumah sendiri.

"Anak juga seronok kerana dapat tinggal dan belajar dalam keadaan lebih selesa selain memiliki bilik masing-masing.

"Oleh itu, saya bersama isteri dan anak-anak mahu mencantikkan lagi rumah kami ini agar lebih kelihatan ceria," katanya yang menetap di Kampung Tanjung Batu.

Seorang lagi penerima rumah PPRT bina baharu di kampung sama, Ramlon Maidin, 51, berkata rumah PPRT diberikan kerajaan itu adalah suatu bantuan yang cukup bermakna buat dirinya dan keluarga.

"Rumah lama kami boleh dikatakan seperti pondok dan memang kurang selesa khususnya buat anak-anak belajar.

"Malahan, dalaman rumah kami pasti akan basah setiap kali hujan lebat dan angin kencang.

"Dengan adanya bantuan rumah PPRT ini, ia mengubah kehidupan kami menjadi lebih selesa," kata bapa kepada lima cahaya mata berumur antara empat sehingga 15 tahun berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak RM83.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan bantuan PPRT termasuklah baik pulih dan bina baharu untuk negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sepanjang tahun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:00 PM