Abd Hamid Hussin (tengah) bersama wakil media pada program Mempromosi Produk Pelancongan Sepang dan Memancing Bersama Media semalam. FOTO SAMADI AHMAD
Abd Hamid Hussin (tengah) bersama wakil media pada program Mempromosi Produk Pelancongan Sepang dan Memancing Bersama Media semalam. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Selepas sekian lama 'mati' akibat penularan pandemik Covid-19, sektor pelancongan di daerah Sepang kembali bernafas sejak dua minggu lalu.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd Hamid Hussin berkata, pihaknya kini sedang giat membantu mempromosi produk pelancongan di Sepang memandangkan industri pelancongan penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi Selangor.

"Walaupun Tahun Melawat Sepang 2020 tidak dapat dilaksanakan susulan kekangan pandemik Covid-19 namun pihak kami meneruskan promosi selepas pembukaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pihak kami masih meneruskan 'tag line' Sepang Di Hati,Jom Bercuti@Sepang dalam usaha menarik kehadiran pelancong berkunjung ke daerah ini bagi memperkasa pelancongan domestik.

"Tumpuan pastinya di lokasi pantai dan penginapan antaranya Bagan Lalang, Jeti Sirip Biru dan premis ikan bakar yang sememangnya penuh dikunjungi pelancong setiap kali cuti panjang atau hujung minggu," katanya pada sidang media Mempromosi Produk Pelancongan Sepang dan Memancing Bersama Media di Bagan Lalang di sini, tadi.

Sebelum itu, beliau bersama beberapa kakitangan pengurusan MPSepang dan wakil media turut serta dalam aktiviti memancing di laut.

Abd Hamid berkata, aktiviti pelancongan yang baharu dibuka pada Fasa 3 PPN ini memberi peluang kepada peniaga, pengusaha hotel, rumah inap desa dan rumah rakit menjana semula ekonomi selepas sekian lama tidak dapat beroperasi.

Menurutnya, MPSepang akan meningkatkan pengetahuan orang ramai berkenaan produk pelancongan yang terdapat di daerah ini melalui siaran media utama dan media sosial.

Katanya, terdapat beberapa jeti yang menyediakan perkhidmatan memancing ke laut dan ladang buah naga terbesar yang wajib dilawati pengunjung.

"Bagi menarik kehadiran pelancong, MPSepang menaiktaraf beberapa kawasan yang dijadikan tumpuan bagi keselesaan pelancong.

"Antaranya menaik taraf jeti Sirip Biru bagi kemudahan pemancing dan pengunjung rumah rakit membabitkan kos RM100,000 selain tambahan RM500,000 untuk baik pulih medan selera yang terbakar.

"Kos menaiktaraf dan membaik pulih ini disalurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan membangunkan semula industri pelancongan domestik di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 5:40 PM