Briged Sukarelawan MPB-NSTP bersama FFG, Kelab CSR FPPP UPNM serta CILT menyantuni gelandangan dan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. FOTO Yusni Ariffin
Briged Sukarelawan MPB-NSTP bersama FFG, Kelab CSR FPPP UPNM serta CILT menyantuni gelandangan dan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. FOTO Yusni Ariffin
Mohd Hilmie Hussin


SERAMAI 250 gelandangan dan golongan miskin bandar didekati Briged Sukarelawan MPB-NSTP buat kali pertama malam tadi sekali gus membolehkan briged itu memahami keperluan golongan terbabit dalam program Merdeka @ Homeless & Urban Poor.

Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi berkata, program itu mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam menyantuni golongan gelandangan iaitu Food for Gelandangan (FFG), Kelab CSR Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT).

“Kami di NSTP berterima kasih dapat bersama-sama FFG kerana kami selama ini melakukan pelbagai misi membantu mangsa banjir, menghantar bantuan rumah ke rumah di kampung namun ini kali pertama kami dekati gelandangan dan golongan miskin bandar.

“Kami bawa sukarelawan kami mempelajari dan memahami bagaimana NGO ini melaksanakannya, menyediakan keperluan kepada gelandangan serta miskin bandar,” katanya.

Lebih 80 orang terbabit dalam program yang bermula dari 10 malam hingga 2 pagi itu.

Sukarelawan bergambar kenangan selepas menyantuni gelandangan dan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. FOTO Yusni Ariffin
Sukarelawan bergambar kenangan selepas menyantuni gelandangan dan golongan miskin bandar di Kuala Lumpur. FOTO Yusni Ariffin

Sementara itu, Pengasas Sukarelawan FFG, OP Mohd Azizan Zainal Abidin berkata, program itu unik kerana mereka bukan hanya menyantuni golongan gelandangan malah miskin bandar.

Katanya, bermula di Jalan Silang, Kuala Lumpur semua yang menyertai program berjalan ke beberapa lokasi untuk menyampaikan bekalan makanan kering, keperluan harian dan khidmat perubatan kepada 250 gelandangan dan miskin bandar.

“Kita tidak beri nasi kerana pelbagai pihak sediakannya dan akhirnya wujud masalah lain, lambakan makanan serta sampah.

“Pada program kali ini juga, kita dapat lihat beberapa jenis gelandangan kerana ada juga dalam kalangan mereka, siang hari bekerja dan hanya menjadikan langit malam di lokasi tertentu sebagai bumbung rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pentadbiran dan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Profesor Madya Dr Jessica Ong berkata, mereka menyertai program itu bagi membolehkan penuntut universiti itu lebih bersikap patriotisme, mempunyai kesedaran sivik dan peradaban.

“Kita bawa mereka untuk turut melakukan penyelidikan dengan mengumpul maklumat daripada gelandangan ditemui, untuk mengetahui mengapa mereka memilih menjadi gelandangan dan hasil kajian ini boleh digunakan untuk tujuan akademik.

“Selain itu, kita mengambil peluang ini membuka kepada penuntut UPNM yang mengambil bahagian, mengambil gambar untuk dihantar ke pertandingan SUHAKAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:41 PM