Baharom Bakar

Kuala Berang: Lembaga Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) mencatatkan peningkatan trafik melebihi 65 peratus atau 24,000 kenderaan hari ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 Suhaimi Samat berkata, jumlah kenderaan dijangka akan terus melonjak apabila ramai penduduk dari Lembah Klang mengambil cuti hujung minggu untuk bersama keluarga selepas kerajaan membenarkan rentas negeri mulai Isnin lalu.

Bagaimanapun, katanya, walaupun jumlah kenderaan meningkat tetapi keadaan lalu lintas berjalan lancar dan tiada kesesakan berlaku.

"Kita juga membuka semua laluan masuk dan keluar plaza tol di sepanjang laluan LPT2," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat aliran trafik kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, kenderaan mulai meningkat sejak semalam dan ia dijangka berlarutan susulan orang ramai dipercayai mengambil cuti secara terus sempena cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa ini.

Menurutnya, pengguna LPT2 disaran untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang menggunakan kemudahan di lebuh raya.

"Pengguna diminta sentiasa memakai pelitup hidung dan mulut serta melakukan imbasan kod MySejahtera untuk pemeriksa suhu badan dan menjaga jarak fizikal terutama ketika beratur mendapatkan makanan.

Foto hiasan
Foto hiasan

"Kami mengalu-alukan semua pelanggan untuk singgah di R&R serta empat hentian sebelah dan mendapatkan makanan secara 'dine-in' di medan selera," katanya.

Suhaimi berkata, pengguna LPT2 juga diminta menunjukkan status vaksinasi Covid-19 ketika membuat pesanan di gerai yang beroperasi.

"Setiap pelanggan akan menerima pelekat hijau sebelum memasuki ruang makan dan sekiranya berlaku kesesakan hingga menjejaskan penjarakan fizikal, LPT2 serta rakan peniaga akan menawarkan pembelian makanan secara bungkus," katanya sambil mengesahkan semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan serta dinyah kuman mengikut jadual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:23 PM