Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu akan meneliti laporan polis yang dibuat terhadap golongan anti vaksin sebelum sebarang tindakan diambil.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan meneliti secara menyeluruh laporan polis yang diberikan kepada pihaknya termasuk meneliti seksyen dan kesalahan yang dilakukan golongan itu sebelum tindakan dibuat.

"Kita akan lihat dahulu laporan polis yang diterima, seksyen mana, apa kesalahan yang mereka lakukan dan kemudian barulah saya akan umumkan dari semasa ke semasa," katanya kepada media selepas merasmikan program Penyampaian Kotak Makanan Serta Ramah Mesra Bersama Penduduk di Kampung Sungai Ara,Kubu Gajah di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah akta baharu berhubung golongan anti vaksin akan diwujudkan beliau menegaskan perkara itu akan diumumkan kemudian.

HAMZAH Zainuddin. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
HAMZAH Zainuddin. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Terdahulu media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memohon pihak berkuasa menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan anti vaksin.

Tegasnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bertindak dengan membuat beberapa laporan polis terhadap beberapa kumpulan anti vaksin.

Bagaimanapun katanya, beberapa kumpulan anti vaksin dilihat masih berterusan menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covi-19 hingga mengancam kesihatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 3:57 PM