Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Image

Larut: Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan sorakan 'katak' daripada penyokong lawan adalah perkara biasa.

Hamzah 'diserang' dengan laungan katak oleh kem penyokong Barisan Nasional (BN) sejurus keluar dari bangunan pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Selama, hari ini.

Beliau bagaimanapun kelihatan tenang dan tersenyum serta dengan bersahaja melambai tangan pada kem penyokong BN yang berhampiran dengan lokasi pengumuman calon oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Itu perkara biasa dalam pilihan raya dan sorakan itu tidak beri apa-apa makna kepada saya.

"Jika mereka kata saya pengkhianat, sebenarnya mereka lupa apa yang saya buat selama ini adalah untuk rakyat dan bukan untuk diri saya sendiri.

"Mereka (BN) boleh berdiri pada hari ini dengan sombong dan angkuh disebabkan kuasa yang diberikan dan jika kita lihat kekalahan BN di Perak, senyap sunyi semuanya," katanya ditemui media selepas proses penamaan calon.

Menurutnya, BN makin sombong dan bongkak sehinggakan lupa rakyat melihat dan menilainya.

"Jika nak cari alternatif untuk menyedarkan mereka, tiada lain hanyalah PN akan mengambil alih semula kuasa.

"Kita janji lakukan pentadbiran secara bersih untuk kestabilan negara," katanya.

Parlimen Larut menyaksikan pertembungan empat penjuru antara penyandangnya, Hamzah, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (BN), Zolkarnain Abidin (PH) dan Auzaie Fadzlan Shahidi (GTA).

HAMZAH bersalaman dengan calon BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (kiri). FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
HAMZAH bersalaman dengan calon BN, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (kiri). FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:13 PM