GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 805 atau 93.5 peratus daripada 861 kawasan di sekitar Lembah Klang yang mengalami gangguan bekalan air sejak awal pagi semalam dipulihkan setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, dengan perkembangan itu menjadikan hanya 56 kawasan yang masih dalam proses pemulihan bekalan air.

"Sehingga jam 6 petang tadi, bekalan air sudah stabil di 805 kawasan dari 861 kawasan yang terjejas.

"Usaha menstabilkan agihan bekalan air terus giat dilakukan bagi memastikan 56 kawasan yang masih lagi terjejas di Wilayah Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat mendapat bekalan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat kawasan iaitu Petaling; Kuala Lumpur; Hulu Selangor dan Kuala Selangor sudah pulih sepenuhnya sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Katanya, tiga lagi iaitu Klang/Shah Alam di tahap 91.6 peratus; Kuala Langat (90 peratus) dan Gombak (85.6 peratus).

"Bantuan bekalan air alternatif melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang masih lagi terjejas.

"Air Selangor turut menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan Pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki, PKS dan pili awam yang disediakan.

"Maklumat bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Air Selangor memaklumkan berlaku henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang pada 11.30 malam, 7 Disember serta LRA Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1 pagi semalam, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 8:28 PM