GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: "Bukan saya, itu milik anak tiri." Itu alasan seorang wanita yang ditahan bersama dadah seberat 55.37 gram dalam operasi di Skim Penempatan Telipok, di sini, semalam.

Dia ditahan menerusi Op Sarang jam 7.45 pagi selepas disyaki terbabit dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati seorang wanita 58 tahun berada di rumah.

Katanya, pemeriksaan fizikal awal terhadap wanita terbabit tidak menemui sebarang kesalahan.

"Namun pemeriksaan lanjut menemui satu kotak berisi 14 paket lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur kristal dipercayai syabu.

"Polis turut menemui sembilan keratan straw yang setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki syabu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, turut ditemui alat penyepit yang diubahsuai dan 10 plastik lutsinar kosong disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 55.37 gram dan bernilai RM5,537 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Wanita terbabit kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa semua dadah berkenaan adalah milik anak tirinya," katanya.

George berkata, Op Sarang akan terus dilaksanakan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dan penagih yang bergerak aktif di daerah ini.

"Polis komited dalam membanteras penyalahgunaan dadah khususnya di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 10:11 AM