HARJIT Singh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan secara bersama membunuh seorang lelaki. FOTO Muhammad ZulSyamini Sufian Suri
HARJIT Singh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan secara bersama membunuh seorang lelaki. FOTO Muhammad ZulSyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan secara bersama membunuh seorang lelaki lain dalam kejadian pada Mei lalu.

Tertuduh, Harjit Singh Terlok Singh, 25, didakwa membunuh A Preshnna, 40, di Jalan Che Puteh, di sini, antara 7.30 pagi hingga 5.30 petang 23 Mei lalu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh terhadap mangsa bersama dengan Basharuddin Hammersla, 26, S Jeyenthiran, 34, S Simeon, 31, T Selvamani, 40, V Thiruganesh, 36, serta seorang lagi yang masih bebas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam, Shabnam Haseena Mohamad Hanif.

Mahkamah menetapkan esok untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh dituduh bersama-sama lima lagi.

Pada 11 Jun lalu, media melaporkan lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta, Pasir Puteh, di sini, pada 26 Mei lalu, selepas diculik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 12:35 PM