TINJAUAN di Lebuhraya Utara Selatan kelihatan kenderaan bertambah. FOTO Saifullizan Tamadi.
TINJAUAN di Lebuhraya Utara Selatan kelihatan kenderaan bertambah. FOTO Saifullizan Tamadi.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga memantau kemungkinan peningkatan penularan jangkitan Covid-19 susulan kebenaran merentas negeri yang berkuat kuasa semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 14 peratus pertambahan kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pada hari pertama aktiviti rentas negeri bermula.

"Pada hari pertama perjalanan rentas negeri, kita dapati peningkatan perjalanan. Secara keseluruhannya (pergerakan menggunakan Plus) meningkat sehingga 14 peratus.

"(Ke arah) Utara meningkat 20.5 peratus, Selatan 15.4 peratus dan Lembah Klang 9.7 peratus.

"Kita akan sentiasa memantau corak penyakit dan mobiliti data untuk meramalkan potensi (kemungkinan penularan) wabak," katanya dalam ciapan di Twitter.

Katanya, syarikat konsesi lebuh raya juga diingatkan supaya membuat persiapan dengan menyediakan garis panduan kepada pengguna berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

"Syarikat konsesi lebuh raya juga diingatkan supaya memastikan kawasan berisiko tinggi di R&R (Kawasan Rehat dan Rawat) seperti surau (dalam) pengudaraan baik dan ditanda dengan jarak fizikal (sebagai persediaan) jangkaan (pertambahan) perjalanan (aktiviti rentas negeri) di lebuh raya pada hujung minggu ini," katanya.

Sebelum ini, Plus menjangkakan peningkatan antara 1.1 juta hingga 1.3 juta kenderaan setiap hari sebaik aktiviti rentas negeri dibenarkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 5:42 PM