Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ketiadaan maklumat lengkap ketika membuat aduan terutama membabitkan kesalahan pemandu p-hailing, menyukarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan.

Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, berkata maklumat lengkap perlu disertakan sama ada mengenai kesalahan yang dilakukan mahupun maklumat lengkap pengadu.

"Kadangkala aduan yang diperoleh itu tidak dapat dijadikan bukti kukuh untuk membolehkan tindakan diambil. Sebaliknya berilah bukti seperti bukti bergambar yang jelas supaya siasatan boleh dijalankan terlebih dahulu.

"Ketika ini kita banyak menerima aduan mengenai perkara ini (p-hailing) secara 'random' (rawak) khususnya melalui media sosial.

"Jadi kita menyeru kepada orang awam ketika membuat aduan, sertakan gambar (visual), nombor plat kenderaan, masa, dan tempat kejadian termasuk maklumat peribadi sendiri bagi memudahkan untuk kesalahan dibuktikan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Operasi Khas Ops Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 berdekatan Sekolah Kebangsaan Tasek, di sini, hari ini.

Dalam operasi bermula 10 pagi hingga 12 tengahari, 64 notis dikeluarkan iaitu 58 notis JPJ(P)22 dan Notis Arah Periksa (Sek.61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987) enam notis.

Beliau berkata, kesalahan lalulintas paling kerap direkodkan dalam kalangan pemandu p-hailing adalah melanggar lampu merah, disusuli oleh kesalahan memasuki lorong bertentangan bagi jalan sehala, selain gagal memastikan aksesori motosikal khususnya cermin sisi berada dalam keadaan baik.

Pun begitu, katanya JPJ sentiasa menjalankan tugas melalui program advokasi kesedaran kepada pemandu p-hailing dalam memastiakn undang-undang lalulintas dipatuhi golongan itu.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan institut belajar memandu (sekolah memandu) seluruh negara akan dibuka dalam tempoh terdekat.

"Di Sarawak memang (sudah) ada keputusan membuka institut memandu daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, namun untuk kawasan (negeri) lain, kita akan buka dalam tempoh terdekat.

"Kita sedang tunggu arahan dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 2:41 PM
Aedy Fadly ketika melakukan pemeriksaan kepada pemandu p-hailing dalam Operasi Khas Ops Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 berdekatan Sekolah Kebangsaan Tasek. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Aedy Fadly ketika melakukan pemeriksaan kepada pemandu p-hailing dalam Operasi Khas Ops Patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 berdekatan Sekolah Kebangsaan Tasek. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI