Melaka River Cruise antara tarikan pelancong di Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Melaka River Cruise antara tarikan pelancong di Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan tahap keselamatan di kawasan pelancongan dipertingkatkan seiring dengan kebenaran merentas negeri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cara itu mampu memulihkan sektor pelancongan serta memberi keyakinan kepada pelancong untuk berkunjung ke destinasi berkenaan.

Beliau berkata, itu adalah antara fokus kementeriannya yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain memastikan sektor pelancongan negara mampu menjana semula pendapatan secara berterusan.

"MOTAC juga akan terus merangka kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negara.

"Saya berharap dengan pelaksanaan pembukaan rentas negeri ini, ia boleh membantu dalam memulihkan kembali sektor pelancongan, seni dan budaya seterusnya dapat membina kembali kekuatan ekonomi negara," katanya tadi.

Nancy berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri itu adalah khabar gembira yang sudah lama dinanti oleh seluruh penggiat industri pelancongan serta dapat menjamin kelangsungan hidup pekerja dalam rantaian sektor itu yang sudah lama terjejas akibat penularan Covid-19.

Nancy turut menggalakkan individu yang ingin melakukan aktiviti pelancongan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

"Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu kerajaan memutuskan rantaian serta mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

"Patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kementerian dan agensi yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:09 PM