PENGUNJUNG menikmati aktiviti riadah di Gunung Pulai 1. FOTO Omar Ahmad
PENGUNJUNG menikmati aktiviti riadah di Gunung Pulai 1. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad.


Kulai: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) sedia menerima pengunjung dan pendaki di Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN) dan kawasan pelancongan dalam Hutan Simpanan Kekal negeri Johor sempena fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Pengarahnya Datuk Salim Aman berkata, terdapat lapan TER, dua HTN dan 15 kawasan ekopelancongan yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk menjalankan aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal negeri.

Namun, 10 daripadanya masih ditutup bagi proses menaiktaraf yang dijangka siap secara berperingkat hujung bulan ini.

Antara yang masih ditutup ialah TER Gunung Pulai 2, TER Sungai Bantang di Labis Segamat, TER Gunung Berlumut di Kluang, TER Panti di Kota Tinggi dan HTN Ayer Hitam Utara di Muar.

Turut ditutup, Batu Tenggek di Kota Tinggi, Gunung Belumut, Gunung Gua Rimau, Gunung Chemendung masing-masing di Kluang dan Gunung Banang di Batu Pahat.

"Untuk fasa 3 PPN, kita bersedia menerima kehadiran pengunjung dan pendaki dengan syarat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti lengkap dua dos vaksin serta lepasi tempoh matang, berada dalam keadaan sihat dan menjaga penjarakan fizikal.

"Kemasukan setiap pengunjung juga direkodkan di pintu masuk bagi mengelakkan ianya melebihi had pengunjung yang dibenarkan.

"Bagi setiap kawasan di bawah JPNJ, kami menghadkan 50 peratus pengunjung dari keluasan sedia ada. Tempoh had masa yang dibenarkan bermula 8 pagi hingga 5 petang," katanya ketika membuat lawatan fasa tiga PPN di Hutan Lipur Gunung Pulai 1 di sini, hari ini.

Menurut Salim, bagi pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti pendakian di Hutan Simpanan Kekal Negeri Johor, mereka perlu mendapatkan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal.

Katanya permit boleh dimohon dengan hadir ke Pejabat Hutan Daerah terdekat dalam tempoh empat hari sebelum tarikh pendakian.

"Kumpulan pendaki perlu menggunakan khidmat Malim Gunung Perhutanan yang diiktiraf sebagai pemandu alam semulajadi dengan nisbah tujuh pendaki, seorang Malim Gunung Perhutanan.

"Dalam permohonan permit, pendaki juga perlu menyertakan salinan kad pengenalan berserta vaksin lengkap yang terdapat di MySejahtera dan memasuki kawasan pendakian mengikut kapasiti dan masa yang ditetapkan oleh JPNJ.

"Bagi aktiviti riadah, jarak yang ditetapkan antara satu hingga tiga meter. Manakala untuk pendakian, jarak yang ditetapkan tiga hingga lima meter bagi mengelakkan kesesakan ketika berada di puncak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 2:13 PM